Bila
Mana
Dianjurkan oleh
Kategori :
  March 16th, 2017          |          Kategori : Jalan-Jalan

Penginapan selesa di Amari Residences Bangkok

amari-residences-bangkok-three-bedroom-suite-living-room-1

Bangkok sering menjadi tumpuan para pelancong asing khasnya rakyat Malaysia. Ini kerana ibunegara Thailand ini memang terkenal dengan pelbagai tempat membeli-belah yang murah dan berkualiti. Jarak di antara Bangkok dan KL yang hanya memakan masa dua jam lebih dengan menaiki kapal terbang memudahkan lagi perjalanan para pengunjung dari Malaysia.

Oleh sebab itu, keperluan untuk tempat persinggahan dan penginapan di sini semakin meningkat. Walaupun semakin banyak hotel-hotel baru yang muncul di bandar ini, namun terdapat beberapa hotel di Bangkok yang telah lama bertahan dengan konsepnya yang tersendiri. Amari Residences di Bangkok merupakan salah satu hotel yang dimaksudkan.

amari-residences-bangkok-in-three-bedroom-king-bed-1
Terbina di kawasan kediaman elit Petchburi di Bangkok, kedudukan strategiknya menyebabkan ramai yang memilih untuk bermalam di sini. Kemudahan serta perkhidmatan yang ditawarkan di sini semakin bagus setiap hari. Apalagi dengan senireka dalamannya yang seiring dengan gaya kontemporari hotel-hotel lain masa kini.

Yang lebih menarik, hotel ini bukan sahaja menawarkan bilik-bilik dan suite seperti hotel-hotel mewah yang lain tetapi tujuan utama mereka adalah untuk mewujudkan tempat tinggal dan bukan sekadar bilik biasa. Dengan konsep suite sepenuhnya, setiap unit persis pangsapuri mewah dengan perkhidmatan (serviced apartments). Terdapat pilihan suite dengan satu, dua atau tiga bilik tidur untuk kemudahan para tamu. Ini diserikan lagi dengan perkhidmatan terbaik para pekerja hotel yang datang untuk mengemas seluruh suite seperti di hotel lima bintang yang lain.

amari-residences-bangkok-soma-set-up

Turut dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan lain seperti kolam renang, gimnasium, dan macam-macam lagi, hotel ini sering menjadi tumpuan para usahawan yang mempunyai urusan kerja serta mereka yang menggunakan perkhidmatan rawatan serta perubatan di kawasan sekitar Bangkok. Ini kerana hotel ini berdekatan dengan pusat-pusat perdagangan dan industri terkemuka seperti pusat-pusat membeli-belah dan mercu tanda paling mudah untuk mengenali kawasannya adalah kedudukannya yang betul-betul berada di sebelah Bangkok Hospital. Malah akses ke jalan lingkaran luar memudahkan para tamu untuk ke stesen MRT dan sebagainya.

amari-residences-bangkok-second-floor-terrace

Bab menjamu selera juga bukanlah satu masalah kerana tersedia sebuah restoran yang menyajikan daging halal iaitu Soma. Tidak kiralah buat sarapan, makan tengah hari ataupun makan malam restoran ini boleh dinikmati oleh semua yang datang. Ini kerana kebanyakan tamu di sini merupakan mereka yang beragama Islam dan kebanyakannya dari negara-negara Arab seperti Arab Saudi dan seumpamanya. Malah, chef mereka sendiri didatangkan dari Timur Tengah. Jadi pilihan restoran dan tempat makan di hotel ini menepati cita rasa majoriti tamu yang datang. Tidak lupa juga kafe Buttercup yang banyak menyajikan pencuci mulut dan kek serta manisan di samping pelbagai hidangan lazat lain. Jadi sekiranya anda tercari-cari, hotel di Bangkok, pastikan Amari Residences menjadi pilihan pertama!