Bila
Mana
Dianjurkan oleh
Kategori :
  March 20th, 2017          |          Kategori : Popular

Afgan Cepat Bosan

 

20170311_154805

Penyanyi pujaan ramai dari seberang Afgan, memberitahu pihak media baru-baru ini bahawa dia seorang yang cepat bosan. Oleh kerana itu, dia sentiasa mahu membawa pembaharuan dalam setiap yang dikerjakan, bermula dari konsep muzik sehinggalah bidang perniagaan yang diceburi.

Sewaktu ditanya tentang perkembangan terbaru aktiviti muziknya, beliau memberitahu bahawa di negara asalnya, dia sekarang sibuk mempromosikan single ketiganya yang berjudul ‘Ku Dengannya Kau Dengan Dia’ daripada album terbaru yang juga album keempatnya, Sides.

Lagu berentak balada tersebut adalah hasil nukilan Ryan D’massiv dan disusun oleh pemuzik tersohor Indonesia Erwin Gutawa. Tambahnya lagi, ia merupakan sebuah lagu berskala besar yang dirakam bersama-sama dengan sebuah orkestra di Prague, Republik Czech , seperti yang pernah dilakukan oleh penyanyi Malaysia, Anuar Zain untuk album terbarunya dulu.

Afgan juga memberitahu bahawa untuk bulan April nanti dia akan meneruskan siri jelajahnya dengan sebuah lagi persembahan di Johor Bahru dan kemudian di Singapura. Malah, Johor merupakan lokasi yang ketiga untuk siri jelajah Sides di Malaysia selepas Kuala Lumpur dan Miri sebelum ini. Pada bulan yang sama, beliau juga akan mengadakan persembahan bersempena dengan Minggu Setiausaha di Kuala Lumpur.

Di dalam album Sides, Afgan sempat bekerjasama dengan penyanyi rap popular SonaOne  dan beliau memberitahu dia ada menyimpan hasrat untuk berkolaborasi dengan artis-artis Malaysia yang lain.

“Saya ingin sekali bekerjasama dengan Dato Sheila Majid andai diberi peluang. Selain itu saya juga meminati Yuna serta Joe Flizzow,” tambahnya lagi.

20170311_154814

Afgan yang kerap kali ke Malaysia untuk urusan kerjaya memberitahu dia tidak percaya bahawa nilai eksklusifnya sebagai artis akan hilang jika terlalu sering ke Malaysia, seperti yang didakwa sesetengah pihak.

“Saya percaya bahawa saya harus memberikan yang terbaik untuk kesemua peminat saya, baik di Indonesia, Malaysia dan juga Singapura. Dan oleh kerana peminat saya di Malaysia tidak putus-putus memberikan sokongan buat kerjaya saya, jadi saya ingin membalas jasa mereka dengan terus berkarya di Malaysia selagi dimahukan,” jelas Afgan ketika ditemui di majlis pengumuman kolaborasi jenama pakaiannya Arez.Co bersama FashionValet di Pavilion Kuala Lumpur baru-baru ini.

Selain jenama pakaian, Afgan juga mempunyai beberapa perniagaan lain di Indonesia iaitu pusat karaoke, restoran serta syarikat pengurusan acara.