Bila
Mana
Dianjurkan oleh
Kategori :
  March 15th, 2017          |          Kategori : Terkini

Dayang Nak Kahwin…

dayang-0069-2ed2

Sejak kemenangannya di acara berprestij Anugerah Juara Lagu yang ke-31 Januari lalu, rezeki penyanyi Dayang Nurfaizah nampaknya semakin murah. Dan tidak lama lagi penyanyi jelita berkulit hitam manis ini bakal melancarkan album studionya yang terbaru pada bulan hadapan.

Namun di sebalik semua kejayaan yang diraihnya, pelantun lagu “Lelaki Teragung” ini masih belum menemui ‘lelaki teragung’nya sendiri. Dan kala ditanya pihak media baru-baru ini, adakah Dayang ingin berkahwin, Dayang ada jawapannya sendiri.

“Dayang nak kahwin, bukan tak nak. Cuma belum jumpa calonnya. Lagipun usia saya dah menjangkau 36 tahun. Sudah tentu saya ada hasrat nak sampai ke jinjang pelamin, tapi jodoh belum ada. Jadi, nak buat macam mana? ” jawabnya dengan jujur.

Menurut Dayang dia tidak pernah bercinta ataupun mengalami situasi ‘putus cinta’ jadi dia tidak dapat memberi komen tentang percintaan. Sungguhpun begitu Dayang sendiri cukup sinonim dengan lagu-lagu cinta yang menjadi sumber rezeki buat dirinya.

Terbaru di radio, Dayang tampil dalam lagu ‘Pejamkan Mata’ bersama dengan bekas ahli Too Phat, Malique. Lagu yang semakin mendapat tempat di kalangan peminat muzik tempatan itu walau bagaimanapun, tidak akan dimuatkan dalam album terbarunya nanti.

“Lagu itu bukan lagu saya. Itu lagu Malique dan saya menerima tawaran untuk sama-sama merakamkan lagu tersebut kerana bukan mudah untuk mendapatkan hasil karya beliau. Lagipun, lagu itu sudah dimuatkan di dalam album Malique sendiri,” jelas Dayang lagi.

dayang-0048-2

Untuk album terbarunya sendiri, Dayang memberitahu yang 10 buah lagu akan dimuatkan dan tiga daripadanya merupakan lagu-lagu yang pernah dimainkan di radio sebelum ini. Biarpun ramai artis memilih untuk mengeluarkan single kerana takut menanggung kerugian sesebuah album penuh, Dayang mempunyai sebab tersendiri untuk tetap tampil dengan album penuh dalam bentuk fizikal.

“Bagi Dayang, album penuh seperti resume seorang penyanyi. Macam orang yang mencari kerja ada resume, penyanyi pun perlu ada. Kalau takut, sampai bila pun Dayang rasa album takkan keluar. Tapi Dayang rasa peminat Dayang akan sentiasa menyokong album yang baik. Dan Dayang ni masih berjiwa ‘Old School’atau ‘Orang Lama’. Jadi Dayang tetap mahukan album fizikal yang ada sampul dan boleh dipegang untuk peminat-peminat Dayang,” tambahnya lagi.

Dalam kesibukan mempersiapkan diri untuk pertunjukan khas sempena pelancaran album yang bertajuk “Dayang Nurfaizah” tersebut, ratu R & B Malaysia ini juga memberitahu tiket untuk pertunjukan bersempena dengan pelancaran albumnya juga sedang laris dipesan.

Dayang ditemui tika menghadiri sidang media sebuah konsert amal bertajuk Tapestry of Colours di Galeri Petronas Suria KLCC baru-baru ini. Konsert amal tersebut yang bakal berlangsung pada 29 Julai nanti akan menampilkan Dayang sendiri sebagai artis jemputan – oleh Shah Shamshiri