Bila
Mana
Dianjurkan oleh
Kategori :
  March 16th, 2017          |          Kategori : Hiburan

Jangan Menangis dari Aizat

 

aizat-amdan-jangan-menangis-cover-art

Aizat Amdan merupakan sebuah nama yang tidak asing lagi dalam industri seni tanah air. Beliau yang bergelar penyanyi,pemuzik dan juga penulis lagu kini kembali menampilkan single terbaru yang berjudul ‘Jangan Menangis’.

Lagu ciptaan Faizal Tahir, Mike Chan dan Aizat itu sendiri mengisahkan bagaimana seseorang mengharungi cabaran dan dugaan yang bakal mendatang saban hari dengan tabah dan kuat tanpa mengenal erti kesedihan.

Konsep serta penceritaan lagu ini juga bersifat universal kerana kesedihan boleh berlaku kepada setiap invidividu, tergantung kepada situasi yang mereka hadapi. ‘Jangan Menangis’ juga memberi satu peringatan kepada setiap individu betapa pentingnya untuk mengambil tanggungjawab dan tindakan apabila berhadapan dengan
situasi yang sukar.

img_1223

Berbeza dengan karya-karya Aizat sebelum ini yang dulunya semua diterbitkan oleh syarikat Kasi Gegar Entertainment (KGE) milik keluarganya, lagu ‘Jangan Menangis’ ini dihasilkan berkat kerjasama antara dua buah syarikat rakaman iaitu Warner Music (M) dan Faithful Music milik penyanyi Rock terkenal Faizal Tahir.

Menurut Aizat, dia memilih untuk bekerjasama dengan Faizal Tahir kerana sudah lama mengenali dan menyenangi cara beliau bekerja dan menghasilkan karya.

“Apabila abang Faizal mempelawa untuk menghasilkan sebuah lagu buat saya, sudah tentu saya menerimanya tanpa perlu teragak-agak. Saya dah lama kenal abang Faizal dan saya yakin dengan hasil kerjanya,” jelas Aizat sewaktu ditemui di sidang media

Tercetusnya inspirasi untuk menghasilkan lagu ini datangnya dari pengalaman Aizat ketika beliau bersama-sama Faizal Tahir, Noh Hujan dan Muadzulkefly menyertai ekspedisi 1Moment4them pada tahun 2013. Ekspedisi ini adalah sebuah pengembaraan gerakan 1Moment4them untuk membantu rakyat bumi Syria yang sedang menghadapi peperangan sivil.

img_1227

Harapan Aizat adalah untuk ‘menjadikan lagu ini sebagai sesuatu yang dapat memberi ketenangan’ kepada pendengar justeru dapat meneruskan kehidupan seharian mereka dengan tabah walaupun ditimpa kesusahan.

Aizat juga memberitahu jika diberi peluang dia ada menyimpan hasrat untuk bekerjasama dengan penyanyi antarabangsa seperti Ed Sheeran dan penerbit lain termasuk Max Martin dan ramai lagi. Aizat sendiri kini merupakan orang penting dalam membimbing pelakon popular Fattah Amin yang sudah mula berjinak-jinak dalam bidang nyanyian.

Lagu ‘Jangan Menangis’ edaran Warner Music (M) Sdn Bhd ini boleh dimuat turun di semua platform digital mulai 10 Mac 2017.