Bila
Mana
Dianjurkan oleh
Kategori :
  January 10th, 2017          |          Kategori : Terkini

Kejayaan Faiz Penanda Aras Baru Dalam Dunia Bola Sepak Negara

Kejayaan Mohd Faiz Subri meraih Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) 2016 menjadi penanda aras baru dalam arena bola sepak tanah air untuk mencapai kecemerlangan di persada antarabangsa. 

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, kejayaan itu membuatkan lebih ramai pemain lain akan berusaha untuk mencapai kejayaan di pentas bola sepak dunia. 

“Kejayaan ini bukan sahaja buat dirinya namun ia penting bagi pemain lain meletakkan sasaran pencapaian peribadi mereka dalam bola sepak. Saya percaya sedikit sebanyak, ia akan memberi kesan positif kepada pemain lain.”

Beliau berkata pengiktirafan terhadap jaringan penyerang Pulau Pinang itu sebagai gol tercantik di dunia sepanjang 2016 oleh FIFA di majlis anugerah berkenaan di Zurich, Switzerland semalam (Isnin), ternyata sesuatu yang luar biasa dalam arena bola sepak Malaysia, sekali gus mengharumkan nama negara. 

Pencapaian Mohd Faiz itu membuktikan pemain tempatan adalah setanding dan boleh ‘berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah’ dengan pemain handalan dunia.

Pada awalnya, beliau berkata sama ada Mohd Faiz berjaya atau tidak meraih anugerah tersebut bukan persoalan utama kerana namanya yang disenarai pendek dalam pencalonan tiga jaringan tercantik di dunia pun sudah cukup membanggakan peminat tanah air. 

“Tahniah saya ucapkan kepada Mohd Faiz daripada pihak FAM dan peminat bola sepak negara. Kemenangannya membuatkan seluruh dunia membuka mata dan mengangkat nama Malaysia di persada dunia.”

Sepakan melencong masuk ke gawang lawan itu membolehkan beliau bersaing dengan sembilan pemain lain pada peringkat awal, termasuk Lionel Messi dari Argentina dan Neymar dari Brazil untuk anugerah itu. 

Anugerah Puskas dinamakan sempena penyerang legenda Hungary, Ferenc Puskas yang menjulang tiga gelaran Eropah bersama pasukan gergasi Sepanyol, Real Madrid dari 1959 hingga 1966. 

Sejak diperkenalkan pada 2009, anugerah yang bertujuan mengiktiraf gol tercantik sepanjang tahun itu dimenangi bintang bola sepak terkenal dunia antaranya Cristiano Ronaldo, Zlatan Ibrahimovic, Neymar dan James Rodriguez.

Sumber : mStar