Bila
Mana
Dianjurkan oleh
Kategori :
  January 11th, 2017          |          Kategori : Terkini

Selamat Jalan Allahyarham Tan Sri Adenan Satem

Kami di SURIAfm ingin mengucapkan takziah kepada keluarga Ketua Menteri Sarawak iaitu Tan Sri Adenan Satem yang telah menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 1.20 petang tadi (Rabu).

Apa yang difahamkan, Allahyarham meninggal dunia akibat komplikasi sakit jantung yang dialaminya. Bapa kepada lima anak ini bakal menyambut hari lahirnya yang ke-73, pada 27 Januari ini. 

Pemergian Allahyarham telah disahkan oleh beberapa orang pemimpin negara termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi kenyataannya di Twitter.

“Innalillahiwainnailaihirajiun. Terima berita sedih TS Adenan Satem telah pulang ke rahmatullah. Saya akan ke Sarawak utk ziarah jenazah. Jasa Allahyarham kepada Sarawak amat besar. Malaysia kehilangan pemimpin berwibawa. Takziah kpd keluarga, moga roh dicucuri rahmat. Al-Fatihah.”

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin juga turut mengucapkan takziah di akaun Twitter nya : “Takziah kepada Puan Sri Jamilah dan keluarga serta rakyat negeri Sarawak atas kembalinya ke rahmatullah Ketua Menteri TS Adenan Satem. Al Fatihah.”

Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin juga tidak melepaskan peluang untuk mengucapkan takziah atas pemergian arwah menerusi akaun Twitter nya. 

“Salam takziah atas kehilangan Ketua Menteri Sarawak. Alfatihah.”

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Puan Sri Jamilah Anu serta lima anak, empat perempuan dan seorang lelaki.

Mari kita mengimbau perjalanan Allahyarham sepanjang hayatnya. 

  • Adenan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjong Datu mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri Sarawak pada 28 Februari 2014, menggantikan Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang meletak jawatan.
  • Pemimpin yang disegani ramai ini baru lapan bulan menerajui Sarawak selepas memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11 pada Mei tahun lalu.
  • Pada PRN yang lalu, Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (BN-PBB) itu memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Tanjong Datu, menewaskan Jazolkipli Numan (PKR) dengan majoriti 5,892 undi.
  • Dilahirkan pada 1944 di Kuching, Sarawak, Allahyarham mendapat pendidikan awal di Sekolah St Joseph, Sarawak sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang di University of Adelaide, Australia.
  • Memulakan kariernya sebagai Majistret di Kuching pada 1970, Adenan pernah berkhidmat sebagai Menteri Muda Pembangunan Tanah Sarawak selama dua tahun sehingga 1987 dan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar pada 2004.
  • Perjalanan karier Allahyarham sebagai Ketua Menteri bermula pada 2010 apabila beliau dilantik sebagai Penasihat Khas di Pejabat Ketua Menteri sebelum menyandang jawatan Menteri di Pejabat Ketua Menteri dan Menteri Tugas-tugas Khas Sarawak yang kebanyakannya mengendalikan isu berkaitan tanah.
  • Sebagai tokoh politik yang banyak menabur jasa dan khidmat khususnya dalam pembangunan negeri Sarawak, Allahyarham dianugerahkan pelbagai pingat dan darjah kebesaran termasuk Darjah Panglima Setia Mahkota yang membawa gelaran ‘Tan Sri’, selain Pingat Perkhidmatan Bakti Negeri Sarawak dan Johan Bintang Sarawak pada 1986.
  • Peningkatan taraf hidup masyarakat di Sarawak merupakan agenda politiknya yang utama dan pangkat bukanlah kayu ukur yang diguna pakai untuk membuktikan kemampuannya sebagai seorang pemimpin yang nyata begitu disegani.
  • Mengimbas kembali bait-bait ucapannya ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Jentera PRN-11 PBB Zon Samarahan di Dewan Suarah Kota Samarahan, April tahun lalu: “Sebagai seorang yang pernah memegang banyak jawatan penting dalam kerajaan sebelum dilantik menjadi Ketua Menteri, saya tidak ‘gilakan pangkat’. Apa yang saya mahu ialah melihat taraf hidup masyarakat terus dipertingkatkan, lihatlah apa yang telah dilakukan sepanjang dua tahun saya dilantik sebagai Ketua Menteri.”

Semoga Allahyarham ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman. Takziah dari kami di SURIAfm.

KETUA Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, 73, meninggal dunia akibat komplikasi jantung di Pusat Jantung Sarawak, jam 1.20 tengah hari tadi. - Foto NSTP

Sumber : mStar